Pages

Tuesday, September 23, 2014

Pendidikan Khas - KPM

  Bahagian Pendidikan Khas merupakan bahagian yang bertanggungjawab terhadap pendidikan bagi murid berkeperluan khas menerusi Program Pendidikan Khas. Program pendidikan untuk murid berkeperluan khas bermula sejak sebelum merdeka bagi murid berkeperluan khas masalah penglihatan dan masalah pendengaran. Penglibatan kerajaan dalam pendidikan murid berkeperluan khas masalah penglihatan bermula dengan penubuhan Sekolah Pendidikan Khas Princess Elizabeth di Johor Bahru di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 1948. Manakala penglibatan kerajaan bagi pendidikan murid bermasalah pendengaran pula bermula dengan pembukaan Sekolah Kanak-kanak Pekak Persekutuan di Pulau Pinang pada tahun 1954. Selepas merdeka, kerajaan telah memperluaskan program pendidikan khas ke sekolah-sekolah biasa melalui Program Pendidikan Khas Integrasi (dahulu dikenali sebagai Program Percantuman). 


  Program Pendidikan Khas telah berkembang di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia semenjak sistem pendidikan kebangsaan diwujudkan pada tahun 1957. Satu unit khas yang dikenali sebagai Unit Pelajaran Khas telah ditubuhkan pada tahun 1964, ditempatkan di Bahagian Sekolah KPM, sehinggalah diganti dengan Jabatan Pendidikan Khas KPM mulai Oktober 1995. Dengan adanya Jabatan ini di peringkat KPM, Jabatan-Jabatan Pendidikan Negeri (sekarang Jabatan Pelajaran Negeri) telah mewujudkan Unit Pendidikan Khas di jabatan masing-masing. Dengan penstrukturan semula KPM, Jabatan Pendidikan Khas kini  dikenali sebagai Bahagian Pendidikan Khas.

No comments:

Post a Comment